Iklan

Selasa, 3 November 2015

Strange Love - Part 10

Bab 10

Afizi hanya mampu menunggu. Sudah hampir satu jam Irham berada di dalam bilik Doktor Azlan untuk pemeriksaan. Hatinya berkecamuk. Perasaannya bercampur aduk. Dia gembira kerana peluang untuk kaki Irham sembuh semakin tinggi. Tetapi dia tidak dapat membendung perasaan gelisahnya mengenai masa depan perhubungan mereka yang masih lagi baru. Mungkin Irham sudah tidak perlukannya lagi selepas ini. 

Afizi melihat sekeliling. Cuba mencari wajah-wajah yang dikenalinya. Sudah lebih lima bulan dia meninggalkan hospital ini. Dia merindui kerja lamanya. Mengemaskini fail-fail pesakit, menjaga mereka dengan teliti dan membantu doktor-doktor yang ada di sini. 

Lamunannya terhenti apabila kedengaran bunyi pintu dibuka. Doktor Azlan membawa Irham keluar dari biliknya. Dengan segera Afizi bangun dan membantu Doktor Azlan. 

"Terima kasih Afizi. Okay, Irham. Abang ada appointment dengan pesakit lain pula ni. Ingat pesan abang. Jaga makan minum. Dan Afizi, petang ni saya akan call awak. Saya pergi dulu ya." Afizi hanya mampu mengangguk. Walaupun ada banyak soalan yang ingin ditanyanya dia terpaksa akur. Doktor Azlan meninggalkan Irham dan Afizi. 

"Macam mana?" tanya Afizi ringkas. Raut wajah Irham nampak tenang pada pandangan matanya. Jadi agak sukar untuk Afizi meneka apa yang ada di fikiran Irham. 

"Okay. Abang Lan cakap dah boleh operate. 95% peluang untuk berjaya." Irham tersenyum. 

Melihat Irham tersenyum sudah cukup untuk menghapuskan rasa dilema yang ada dalam dirinya. Kesihatan Irham lebih penting. Mungkin dia tidak lagi akan dapat menghabiskan masanya untuk menjaga Irham, tetapi dia gembira kerana Irham akan mendapat kembali kebebasannya. Bebas untuk berjalan dan berlari. Bebas untuk ke mana-mana sahaja. 

Tanpa disangka, Irham mengucup pipinya. 

"Dah jangan nak berkhayal. Jom balik. Laparlah..."

Afizi melihat sekeliling. Mujur tiada orang yang melihat aksi Irham. Geram bercampur gembira, Afizi menolak kerusi roda Irham menuju ke arah lif. 

xxx

"Okay. Thanks Iyas." Irham meletakkan telefonnya di atas meja. Dia kembali semula kepada Afizi yang berada di atas sofa. Afizi membantu Irham. 

"Kenapa Iyas call?"

"Mama nak datang sini. Lusa sampai. Tapi dia nak buat surprise. So Iyas bimbang, kalau Mama terserempak dengan kita tengah berkelakuan tidak senonoh." Irham tersenyum nakal. 

Afizi tergelak kecil. 

Tiba-tiba dia teringat dengan perbualan di antaranya dengan Doktor Azlan semasa dia masih lagi belum bekerja dengan Irham, yang Irham berjanji untuk pulang ke London selepas 6 bulan.

Raut wajah Afizi mula berubah. Dia cuba untuk menyembunyi rasa sedihnya tetapi Irham berjaya membaca apa yang ada di fikirannya. 

"Kenapa ni?"

"Hah.. kenapa? Tak ada apa-apalah," Afizi cuba untuk tersenyum namun senyumannya tawar di mata Irham.

"Kau bimbang ke Mama aku nak datang?" tanya Irham lagi.

"Tak adalah. Cuma Encik pernah janji kan dengan Mama Encik, yang Encik nak pulang ke London. So nanti Encik akan pulang ke sana lah kan?" Afizi tunduk. 

Irham tersentuh melihat reaksi Afizi. Irham mengangkat tangannya lalu mencubit pipi Afizi. Afizi terpinga-pinga dengan aksi Irham.

"Cubitan ni sebab kau panggil aku Encik. Panggil je aku apa-apa. Abang ke, Irham ke, 'kau' pun boleh. Kalau kau panggil aku 'Encik' lagi, lagi berat hukumannya tahu. Dan ya, aku akan balik ke London nanti. Tapi aku nak kau ikut aku sekali." Irham mengenggam tangan Afizi. 

"Ish, apalah yang saya nak buat kat sana nanti. Lagipun saya ada tanggungjawab kat sini. Mak dan adik saya masih ada lagi," balas Afizi. 

"Aku boleh minta tolong Mama aku. Kau boleh kerja kat sana nanti. Kat hospital yang sama. Bawalah Mak dan adik kau sekali."

"Tapi Ila masih belajar lagi. Dia pun dah ada boyfriend kat sini." Walaupun hati Afizi ingin sahaja bersetuju dengan cadangan Irham, dia masih lagi tidak yakin. 

"Ila kan dah final semester. Tunggulah lepas dia habis. Lagipun still kena ada paperwork untuk kau kerja di sana. Lepas semua selesai, pindahlah ke London. Mungkin kita akan berjauhan untuk beberapa bulan, tapi aku janji aku takkan pandang pun nurse-nurse yang ada kat London. Si Alex tu baru je jadi boyfriend, bukan husband pun. Daripada Alex Melayu tu, baik dia cari Alex lain kat London nanti," tambah Irham yang berjaya membuatkan Afizi tersenyum. 

Afizi sudah membuat keputusannya. 

xxx

Afizi melihat ibu dan adik perempuannya ada di ruang tamu sedang menonton televisyen. Sudah lama Afizi tidak menonton tv bersama-sama mereka berdua. Sudah menjadi kebiasaannya untuk berada di dalam bilik setelah selesai makan malam. 

"Cerita apa ni?" tanya Afizi sambil duduk di sisi ibunya.

"Biasalah cerita Melayu, Along. Cerita kahwin paksa ni. Umi suka lah cerita macam ni. Orang nak tengok cerita The Vampire Diaries pun tak boleh," jawab Asilah. 

"Umi dulu pun kena kahwin paksa juga dengan arwah Baba kamu. Tapi kami bahagia. Tak semestinya hidup tak gembira bila kena kahwin paksa ni," sambung Uminya pula. 

"Sebab tu lah Umi suka sangat dengan cerita kahwin paksa ni kan? Eh, Along tak kerja ke esok? Biasanya tidur awal." Afizi tersenyum mendengar soalan dari adiknya. 

"Kerja. Ermm.. sebenarnya Along ada hal nak bincang dengan Umi dan Ila." Afizi teringat kembali dengan cadangan Irham dua hari yang lepas.

"Kenapa Along?" tanya ibunya. 

"Sebenarnya Along dapat tawaran kerja di London. Hospital tu tempat ibu kepada Encik Irham kerja. Ibu dia lebih kurang macam pengarah hospital lah," jelas Afizi kepada ibu dan adiknya. 

"Oh jadi Along nak tinggalkan kami lah ni." riak muka adiknya mula berubah. 

"Takkanlah Along nak tinggalkan Ila dan Umi. Along bercadang nak bawa Umi dan Ila sekali. Kita tinggal kat sana. Ila pun tinggal tiga bulan lagi kan nak habis study," tambah Afizi lagi. 

"Betul ke Along. London.. Bestnya.. Bila nak pergi ni?" Reaksi Asilah mula berubah. 

"Macam Along cakap tadi. Lepas Ila habis study. Lagipun ada prosedur untuk tinggal dan kerja di sana. Permohonan ni berbulan-bulan lah jugak. Along pun tak sure macam mana lagi. Cuma Along just nak tanya pendapat Umi dan Ila."

"Ila sokong 100%" 

"Tapi tak sedih ke kena tinggal boyfriend Ila tu nanti?" tanya Afizi. 

"Ala, kat sana boleh cari boyfriend lain." Ila tersenyum. 

Memang betul apa yang dikatakan oleh Irham sebelum ini. Agak senang untuk mendapat persetujuan Asilah. Tetapi Afizi sedikit gusar dengan pendapat ibunya.

"Umi?" tanya Afizi. 

"Nanti Along dan Ila kenalah ajar Umi cakap Bahasa Inggeris."

Jawapan dari ibunya sudah cukup untuk melegakan hati Afizi.

"Okay apa kata kita tukar channel. Jangan tengok cerita Melayu lagi." Belum sempat Asilah mengambil remote control, Afizi mencapainya terlebih dahulu dan memberikan kepada ibunya. 

"Along!!!" jerit Asilah.

"Okay. Along nak tidur. Good night." Afizi berlalu menuju ke biliknya. Tidak sabar untuk memberitahu berita gembira ini kepada Irham. 

xxx

"Okay, ingat buat muka terkejut. Tunjuk balik muka terkejut kau," arah Irham. Afizi menunjukkan muka terkejutnya. 

"Tu bukan muka terkejut. Tu dah macam horny dah. Kalau horny baik kita masuk bilik je. Sempat lagi ni," usik Irham.

"Tak inginlah. Habis tu macam mana lagi. Saya ni manalah pandai berlakon, Enc.. Irham." Afizi berjaya mengelakkan diri daripada dihukum oleh Irham.

"Ha.. Mujur tak sempat sebut Encik, kalau tak spanking tau. Cepatlah buat muka macam ni." Irham menunjukkan reaksi muka terkejutnya kepada Afizi. 

Afizi hanya menurut sahaja keinginan Irham. Ilyas telah menghantar mesej kepada Irham yang ibu mereka sudah sampai di lapangan terbang. Irham pula tidak mahu merosakkan rancangan ibu mereka yang mahu mengejutkan Irham. 

Afizi melihat Irham yang tidak senang duduk menunggu kemunculan ibunya. Walaupun Irham tidak menunjukkan rasa rindu kepada ibunya sebelum ini, Afizi tahu yang Irham sangat menyayangi ibunya. Dia cuma terluka dengan ibunya yang lebih mementingkan suami barunya. 

Bunyi loceng kedengaran. Irham berlagak selamba dan mengarahkan Afizi untuk membuka pintu. Afizi membuka pintu dan kelihatan seorang wanita di hadapannya. Walaupun sudah berusia, dia masih lagi cantik. 

"Saya ibu Irham. Irham kat mana? Jangan beritahu Irham saya datang," bisik Puan Soraya perlahan.

"Dia ada di ruang tamu. Tengah berehat," Afizi turut sama berbisik. 

Puan Soraya berjalan perlahan-lahan menuju ke ruang tamu dan melihat Irham yang sedang membelakanginya. Dia menuju ke arah Irham dan memeluk Irham dari belakang. 

Irham pura-pura terkejut dengan tindakan ibunya. 

"Eh Mama? Bila sampai sini?" Irham membuat reaksi muka terkejut. Afizi tidak dapat membendung rasa kelakar lalu ketawa saat melihat reaksi wajah terkejut Irham.

"Ala.. Ni mesti Iyas dah bocorkan rahsia Mama." Puan Soraya sedar yang anak sulungnya sudah tahu mengenai kejutannya. 

Irham tergelak

"Mama jangan cakap Am pulak yang belot pada Iyas. Salahkan budak senget yang gelak dulu tu." Irham memandang Afizi dengan geram. Afizi memang tidak pandai berlakon langsung. 

"Oh ya sorry tak sempat kenalkan diri. Ini Fizi kan." Puan Soraya memeluk Afizi yang sedikit tersentak dengan pelukan dari seorang wanita yang baru dikenalinya. 

"Ya, Puan.."

"Eh, panggil Aunty sahaja. Terima kasihlah Fizi kerana menjaga anak Aunty. Aunty tahu ramai yang menolak sebab anak Aunty ni complicated sikit. Kalau dia ada buat salah, Aunty minta maaf." Puan Soraya memegang tangan Afizi. 

"Ish.. Takde lah Aunty. Encik Irham okay." Afizi hanya tersenyum tatkala menyedari yang dia telah pun menggunakan perkataan Encik. Irham memandangnya dengan tajam. 

"Aunty kenal anak Aunty ni. Mulut dia tu memang nak kena cili. Tapi hati dia baik. Terima kasih sekali lagi Aunty ucapkan."

"Apa ni Mama, kutuk anak sendiri." Mata Irham masih lagi memandang Afizi. 

"Oh ya. Fizi boleh ambil cuti selama beberapa hari. Hari ni pun Fizi boleh balik awal. Biar Aunty pula yang jaga Am. Nanti Am cakap Aunty tak sayangkan dia pulak," sindir Puan Soraya kepada Irham yang selalu merajuk dengannya. 

"Ish, apa ni nak bagi cuti. Am tak luluskan cuti." Irham tidak sanggup untuk tidak melihat Afizi walaupun hanya sehari. 

"Irham, si Fizi ni jaga awak setiap masa. Tak ada cuti pun. Berilah dia cuti untuk habiskan masa dengan family. Dia pun mesti ada family. 

"Tak apa Aunty..."

"Don't worry, Fizi. Pergi balik. Tak apa. Sekarang ni biar Aunty pula jaga dia."

Afizi melihat ke arah Irham. Masih lagi buntu.

"Selamat bercuti..." Irham tersenyum walaupun dia akan merindui Afizi nanti. 

xxx

To be continued
F.I